Translate

Tuesday, December 23, 2008

Perlu sertai kempen harga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu lebih banyak pengusaha pasar raya di luar bandar menyertai Kempen Penurunan Harga.

Menterinya, Datuk  Shahrir  Abdul  Samad  berkata, penyertaan mereka dalam kempen itu diyakini dapat memberi kesan meluas kepada pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah

"Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kuasa pembeli dan pengguna terutamanya di bandar kecil dan luar bandar semakin lemah.

"Jika pengusaha pasar raya terbabit terus mengambil kesempatan menjual barangan pada harga tinggi, yang akan rugi nanti ialah peniaga sendiri kerana pengguna semakin tidak berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang di pasar raya TF  Value-Mart  di sini semalam.

Sepanjang kempen yang akan berlanjutan hingga Mei depan itu, sebanyak kira-kira 1,000 produk termasuk barangan makanan dan produk penjagaan diri di pasar raya tersebut mengalami penurunan hingga 40 peratus.

 Shahrir  berkata, sejak dilancarkan Oktober lalu, sebanyak 16 pengusaha pasar raya mengambil bahagian dan ia memberi kesan positif kepada pengguna.

Dalam pada itu,  Shahrir  memberitahu kementeriannya optimis lebih banyak penurunan harga barangan keperluan akan dirasai pengguna mulai awal tahun depan.

Katanya, ia berikutan rundingan kementeriannya bersama pengeluar dan pembekal barangan berkenaan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif.

"Rata-rata pengeluar terbabit memberi jaminan akan menurunkan harga produk masing-masing dalam masa terdekat setelah barang mentah semakin murah berikutan penurunan harga minyak.

"Kementerian akan susul sekali lagi dengan pihak terbabit dalam masa terdekat untuk pastikan penurunan harga barangan keperluan itu benar-benar dapat direalisasikan," katanya.

No comments:

Post a Comment