Translate

Saturday, April 16, 2022

Berbuka puasa di puncak Bukit Maras

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Bukit Maras yang terkenal dengan aktiviti pendakian dan paragliding kini menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

Berbuka puasa sambil menikmati panorama indah senja daerah Kuala Nerus pada ketinggian 329 meter dari puncak bukit sudah pasti menawarkan keunikannya yang tersendiri.

Mohd. Shobri Ahmad, 45, berkata, dia tidak melepaskan peluang membawa ahli keluarganya merasai kelainan itu apabila mengetahui kewujudan pakej berbuka puasa di puncak Bukit Maras.

“Saya memang pencinta sukan rekreasi dan Bukit Maras bukan asing bagi saya. Peluang berbuka puasa di puncak bukit ini amat mengujakan.

“Berbuka puasa di puncak bukit pastinya memberi pengalaman berbeza, tidak sama se­perti di hotel, restoran atau kawasan lapang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di puncak Bukit Maras di sini.

Tambah Mohd. Shobri, dia juga boleh berbuka puasa beramai-ramai dengan tenang kerana penganjur turut menyediakan fasiliti solat, tandas dan ruang makan yang selesa.

Sementara itu, penganjur­nya, Mohd. Pozi Hassan berkata, buat masa ini, pakej berbuka puasa di puncak Bukit Maras itu hanya ditawarkan pada Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan ini.

Beliau memberitahu, pelanggan yang membuat tempahan tidak perlu mendaki kerana kita menyediakan kemudahan kenderaan pacuan empat roda untuk ke puncak bukit.

“Dua pakej disediakan iaitu berbuka puasa selain berkhemah yang turut menawarkan sajian moreh,” ujarnya.

Mohd. Pozi berkata, kapasiti pelanggan yang ditetapkan hanya 50 orang setiap hari bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan sajian ditawarkan masakan ala kampung.


No comments:

Post a Comment