Translate

Thursday, April 14, 2022

Pesta dangdut cemar kesucian Ramadan di Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUA hari sebelum ketibaan 1 Ra­madan pada Jumaat lalu, penduduk di Terengganu digemparkankan dengan klip video tular mengenai persembahan nya­nyian tidak senonoh di satu daerah iaitu Kuala Terengganu.

Penyebaran video berdurasi 25 saat itu membongkar penganjuran ‘pesta dangdut’ di sebuah hotel di bandar raya itu pada 25 Mac lalu.

Penganjuran persembahan nyanyian dangdut oleh individu berpakaian seksi yang boleh diragui jantina mereka kira-kira 10 hari sebelum ketibaan bulan puasa itu mencetus kemarahan dalam kalangan orang ramai.

Rakyat Terengganu yang ter­kenal dengan budaya dan adab ketimuran juga rata-ratanya tidak berpuas hati dan kurang selesa kerana program kontroversi terbabit yang berlangsung pada ambang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, penganjuran ‘pesta dangdut’ tersebut sememangnya amat dikesali.

“Ia jelas bertentangan dengan Garis Panduan Hiburan Terengganu yang telah diwartakan pada tahun 2020.

“Garis panduan itu sangat jelas dan penganjurannya (tarian dangdut) seolah-olah satu provokasi bagi mencabar ketegasan kerajaan negeri Terengganu,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Mohd. Nor memberitahu, susulan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan polis.

Jelas beliau, tindakan boleh diambil mengikut Enakmen Ke­salahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (Pindaan 2015).

“Siasatan awal mendapati, pihak pengurusan hotel mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran ‘pesta dangdut’ oleh penganjur.

“Tempahan yang dibuat pada 25 Mac lalu didakwa dibuat atas program majlis makan malam tanpa diberitahu terdapat acara persembahan nyanyian dan ta­rian dangdut,” katanya.

Tambah Mohd. Nor, siasatan masih diteruskan dan berharap kejadian itu menjadi pengajaran buat pe­ngusaha hotel dan premis lain di Terengganu.

“Pengurusan premis terlibat seharusnya lebih teliti dalam menerima sebarang tempahan penganjuran program pada masa akan datang.

“Saya difahamkan penganjur merupakan penduduk tempatan. Tidak sepatutnya beri alasan tidak arif mengenai Garis Panduan Hiburan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin berkata, berdasarkan garis panduan itu, pengamal seni yang membuat persembahan di Terengganu perlu berpakaian sopan tidak me­ngira jantina dan agama.

Beliau berkata, persembahan melibatkan artis wanita pula hanya dibenarkan di hadapan khalayak wanita kecuali berunsurkan keagamaan, patriotik dan koir.

“Mereka juga tidak boleh me­lakukan tatarias dan dandanan menyerupai jantina berlainan. Persembahan tarian mengghairahkan juga dilarang.

“Sebarang aktiviti dikaitkan dengan imej lesbian, gay, bisek­sual transgender (LGBT) juga tidak dibenarkan,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment