Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah tabah membuat pelbagai pekerjaan sampingan untuk membantu suami menambah pendapatan bagi membesarkan empat anak termasuk seorang golongan orang kelainan upaya (OKU).
Aisyah Jusoh, 39, berkata, anak sulungnya, Muhammad Amaluddin Wafi A. Kahalib, 16, menghidap penyakit cerebral palsy yang menyebabkannya terlantar sejak lahir.
Menurutnya, suami, A. Kahalib Abdullah, 42, hanya bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan kasar RM1,200 sebulan.
“Bagi membantu suami, saya mengambil upah mencanting batik dan mengusahakan kerepek pisang dan aiskrim Malaysia.
“Selain Amaluddin, kami mempunyai tiga lagi anak berusia antara satu setengah tahun hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Chendering di sini baru-baru ini.
Aisyah berkata, kos perubatan, lampin pakai buang dan makanan Muhammad Amaluddin Wafi menelan belanja lebih RM700 sebulan.
“Kami ada menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bekalan susu khas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Perbelanjaan bulanan kami memang agak tinggi, kalau kehabisan duit untuk membeli lauk, saya akan masak nasi goreng kosong untuk kami anak beranak mengisi perut sewaktu bersahur dan berbuka puasa,” ujarnya.
Aisyah berkata, ketika ini, dia pening kepala apabila tidak mampu untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta yang sudah tamat tempoh lebih sebulan lalu.
Katanya, dia amat memerlukan kereta itu untuk menghantar tempahan kerepek dan aiskrim pelanggan selain membawa Muhammad Amaluddin Wafi menjalani rawatan berkala sebanyak empat kali sebulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan di akaun bank CIMB milik Aisyah bernombor 7613833686 atau menghubunginya di talian 016-9339389.
No comments:
Post a Comment