Translate

Wednesday, April 6, 2022

TDM lepas dua aset syarikat perladangan di Indonesia

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad (TDM) melepaskan pegangannya terhadap dua syarikat perladangan kelapa sawit, PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) yang terletak di Indonesia.

Pengerusi TDM, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, firma tersebut yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu telah menerima tawaran pengambilalihan daripada sebuah syarikat tempatan, Ikhasas Sdn. Bhd. (Ikhasas).

Beliau berkata, Ikhasas menawarkan untuk memiliki RKA dan SRA dengan nilai pembelian RM115 juta.

“Ikhasas bersetuju untuk membayar deposit pendahuluan sebanyak RM2.3 juta. Syarat tertentu perlu dipenuhi kedua-dua pihak sebelum pembelian dimuktamadkan dalam tempoh seawal enam bulan.

“Rundingan secara eksklusif dalam dilakukan antara TDM dan Ikhasas akan berlangsung sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Idris berkata, tawaran Ikhasas itu membolehkan TDM menyelaraskan aktiviti perniagaan dan menumpukan tenaga serta sumber syarikat terhadap perusahaan yang lebih berdaya maju.

Jelas beliau, RKA dan SRA milik TDM yang masing-masing telah menjana kerugian sejak ditubuhkan akan dilupuskan pada harga RM115 juta.

“Kedua-dua syarikat itu dijangka tidak mampu menjana keuntungan pada masa terdekat dan turut diklasifikasikan sebagai aset dipegang untuk jualan sejak tahun 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment