KUALA NERUS – Kegembiraan dua beradik menikmati puding buih ketika berbuka puasa pada Rabu lalu bertukar mimpi ngeri apabila mereka mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada juadah itu.
Kejadian tersebut menyebabkan Muhammad Aqil Rifqi Mohd. Rusnizam, 9, dan adiknya, Nur Azzahra Raisha, 7, terpaksa dikejarkan ke hospital, kira-kira sembilan jam selepas memakan puding buih tersebut.
Ibu mangsa, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, mendakwa, dia membeli puding buih tersebut di Bazar Ramadan Kampung Bukit Tumboh di sini pada pukul 6 petang, 6 April lalu.
“Dua anak saya mula mengalami cirit-birit dan muntah-muntah pada pukul 4 pagi.
“Situasi itu menyebabkan badan menjadi lemah dan muka bertukar pucat menyebabkan kami membawa mereka ke sebuah klinik swasta,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, doktor klinik swasta kemudian meminta Muhammad Aqil Rifqi dan Nur Azzahra Raisha yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh di sini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Dia yang menetap di Bukit Tok Beng di sini memberitahu, keadaan kedua-dua anaknya semakin pulih setelah tiga hari menerima rawatan di wad HSNZ, namun masih memerlukan pemantauan.
“Saya syak mereka keracunan puding buih. Ahli keluarga lain yang tidak memakan pencuci mulut itu tidak mengalami apa-apa simptom,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, siasatan mengenai punca dua beradik itu keracunan makanan sedang dijalankan.
“Kami juga sudah mengambil sampel (puding buih) bagi membantu siasatan,” katanya.
Puding buih merupakan pencuci mulut yang diperbuat daripada telur ayam dan serbuk agar-agar sebelum dimakan bersama sos kastard.
Juadah itu pernah menyebabkan 99 individu keracunan termasuk seorang meninggal dunia di Kuala Terengganu dan Marang pada bulan Ramadan tahun 2020.
No comments:
Post a Comment