Translate

Tuesday, April 5, 2022

Salah haluan peserta Jelajah Terengganu hanya kesilapan kecil

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Peringkat pertama kejohanan berbasikal, Jelajah Terengganu semalam sedikit kalut apabila sebahagian pelumba tersalah haluan di Kilometer 105.6, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Beting Lenting di sini.

Pelumba-pelumba basikal tersebut yang membelok ke kiri sewaktu tiba di bulatan lokasi berkenaan hanya menyedari kesilapan apabila ditegur oleh penduduk tempatan yang menyaksikan perlumbaan itu di tepi jalan.

Pengarah Teknikal Jelajah Terengganu atau Tour D’Geteh Terengganu, Mazlan Md. Jail berkata, kesilapan berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana pihak penganjur telah menyediakan penunjuk arah mencukupi di sepanjang laluan.

“Kami menyediakan tiga papan tanda arah di Bulatan Beting Lintang terbabit sebagai panduan terhadap pelumba basikal tersebut.

“Sepatutnya juga mereka (peserta) perlu mengetahui laluan terlebih dahulu sebelum hari perlumbaan sebenar,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya mengenalpasti kumpulan pelumba yang terlibatkan dalam kesilapan tersalah haluan melibatkan kelompok kedua perlumbaan peringkat pertama Jelajah Terengganu.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia itu berkata, kesilapan yang tidak disengajakan tersebut segera diperbetulkan dan diyakini tidak menjejaskan catatan masa keseluruhan pelumba terlibat.

“Ia kesilapan kecil yang turut pernah berlaku pada perlumbaan berbasikal bertaraf antarabangsa di luar negara,” katanya.

Jelajah Terengganu yang mempunyai peringkat sehingga Jumaat disertai 27 pasukan termasuk Specialized Dynasty Mavericks dari Singapura dan dua pasukan handalan tempatan iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC). – KOSMO! ONLINE.

No comments:

Post a Comment