Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Umat Islam terutama peniaga makanan ditegah membantu memberi makanan atau menjual di siang hari pada bulan Ramadan ke atas mana-mana individu yang wajib berpuasa tanpa keuzuran.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, amalan tolong-menolong untuk melakukan dosa sememangnya dilarang di dalam al-Quran berdasarkan surah Al-Maidah.
Menurutnya, menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah diwajibkan kepada setiap individu Muslim yang sudah akil baligh, sihat dan tidak bermusafir.
“Umat Islam tanpa keuzuran atau bermusafir adalah berdosa sekiranya meninggalkan kewajipan berpuasa pada Ramadan.
“Berbanding mereka yang tidak mampu berpuasa kerana uzur atau tua maka dikehendaki mengeluarkan fidyah untuk fakir miskin dengan secupak makanan ruji mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
“Jadi, kita suka menasihatkan kepada peniaga makanan supaya tidak menjual kepada umat Islam yang diyakini tidak berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa keuzuran yang diharuskan berbuka puasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, tinjauan Kosmo! di sekitar premis makanan diusahakan orang Islam terutama di sekitar Bayan Baru dan pusat bandar George Town, di sini seawal pukul 11 pagi semalam mendapati trend bungkusan plastik hitam masih kekal dipraktikkan pemilik premis terbabit.
Pelanggan juga dilihat tanpa segan silu membawa keluar bungkusan hitam selain memilih memakai topi keledar dan pelitup muka (face mask).
Kelibat hampir 10 pelanggan berbangsa Melayu kelihatan sekitar pukul 12 tengah hari selain ada yang dipercayai menggunakan khidmat penghantar makanan terus ke pintu rumah.
Di Kuala Terengganu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebahagian besar lokasi penjualan makanan kepada kaki ponteng puasa di seluruh negeri ini.
“Berdasarkan pengalaman tahun-tahun lalu, mereka bukan sahaja makan dan minum secara terbuka malah menjadikan lokasi itu bagi melepaskan gian menghisap rokok pada siang hari pada bulan Ramadan.
“JHEAT telah membentuk skuad khas memantau dan menyerbu lokasi panas terbabit bagi membanteras gejala ponteng puasa pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, skuad khas itu terdiri daripada 171 Pegawai Penguat Kuasa Syariah (PPS) dan 85 anggota sukarelawan.
Tambahnya, semua premis makanan di Terengganu juga telah dilarang untuk beroperasi sebelum pukul 3 petang sepanjang Ramadan. -KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment