Translate

Thursday, April 7, 2022

Isteri ambil alih tugas jahit jebak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang suri rumah bagaikan hilang arah apabila suami yang diharapkan untuk menjana pendapatan keluarga selama ini terpaksa terlantar apabila dua jari kaki kanannya terpaksa dipotong kerana pe­nyakit ken­cing manis.

Nor Afida Akma Mohamad, 43, berkata, suaminya, Mohd. Nor Aziz, 45, sebelum ini giat me­nyiapkan tempahan sarung pe­rangkap burung atau jebak daripada pelanggan bagi menyara keluarga.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka kejadian kecil yang berlaku di rumah mereka di Pantai Ali di sini pada 16 Mac lalu telah mengakibatkan impak yang sangat besar dalam kehidupan mereka.

“Semuanya bermula apabila suami saya terpijak serpihan kaca mangkuk yang pecah di dapur rumah.

“Kami ingatkan tidak serius sehinggalah kaki kanannya mula membengkak dan bernanah pada beberapa hari kemudian sebelum kami pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Nor Afida Akma, doktor kemudian menasihatkan mereka pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Sabtu lalu kerana keadaan kaki yang agak teruk.

Tambahnya, luluh hatinya apabila dimaklumkan dua jari kaki suaminya tidak dapat di­selamatkan dan perlu dibuang ekoran komplikasi diabetes selain bagi mengelak berjangkit ke bahagian lain pula.

“Pakar perubatan hospital menasihatkan supaya kaki kanan suami saya dipotong hingga ke paras buku lali tetapi suami saya merayu cukuplah sekadar dua jari kakinya yang terpaksa dikorbankan buat masa ini.

“Dugaan ini betul-betul mengejutkan kami kerana setahu saya baru dua tahun suami menghidap diabetes dan ia tidak serius serta masih terkawal,” katanya.

Ujar Nor Afida Akma, masalah kesihatan dihadapi suaminya kini menyebabkan pembuatan sarung perangkap burung atau jebak yang diusahakan mereka sejak dua tahun lalu tergendala.

Jelas beliau, jebak merupakan satu-satunya mata pencarian mereka untuk menyara keluarga termasuk tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun yang masih bersekolah.

“Sejujurnya saya tidak dapat meneka masa depan kami. Simpanan kami tidak banyak, kos perubatan tidak termasuk pembedahan berjumlah RM530 sebelum ini pun dilunaskan dengan belas ihsan kawan-kawan.

“Mungkin saya kena mengambil alih tanggungjawabnya meneruskan perniagaan jebak bagi menyara keluarga,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan menerusi akaun bank Mohd. Noor bernombor 2-00-6561-00013992-8 (AgroBank) atau menghubungi Nor Afida Akma di talian 011-3659 9550. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment