Translate

Wednesday, April 6, 2022

Solat jemaah rapat saf di Terengganu mulai 1 April

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Umat Islam di Terengganu dibenarkan kembali merapatkan saf sewaktu mendirikan solat Jumaat dan fardu secara berjemaah di masjid dan surau di negeri ini mulai 1 April ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Melayu Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kebenaran tersebut telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata, baginda memberi perkenan berikutan perkembangan peralihan negara ke fasa endemik mulai 1 April ini dan menerima pandangan Mufti Terengganu, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan negeri.

“Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal juga dibenarkan bagi solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan dan solat sunat Aidilfitri.

“Selain jemaah dewasa, baginda juga berkenan membenarkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas kembali hadir ke masjid dan surau dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, jawatan kuasa masjid dan surau di Terengganu digalakkan menyediakan kawasan khas bersesuaian untuk kanak-kanak terbabit beribadah.

Jelas beliau, walaupun solat dengan saf rapat dibenarkan, jemaah masih dilarang untuk bersalaman antara satu sama lain.

“Mereka masih diwajibkan memakai pelitup muka dan mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera. Individu bergejala tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau.

“Sejadah sendiri tidak perlu dibawa. Jawatan kuasa masjid dan surau juga digalakkan menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan jemaah,” katanya.

Shaikh Harun berkata, aktiviti ceramah dan kuliah agama, majlis berbuka puasa dan moreh, tadarus al-Quran, qiamullail, gotong-royong dan akad nikah juga dibenarkan.

Tambah beliau, solat jenazah juga dibenarkan tanpa penjarakan fizikal selain menziarahi tanah perkuburan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment