KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga wanita yang tular selepas videonya menaiki motosikal roda tiga bersama ibu saudaranya merupakan orang kelainan upaya (OKU) dalam keadaan panas terik tular merayu agar penyebaran maklumat peribadinya dihentikan.
Dia yang mahu dikenali sebagai Yati, 40-an memberitahu telah dihubungi ramai pihak sejak video tersebut tular di media sosial sejak semalam.
“Saya hargai simpati dan sokongan diberikan. Rakyat Malaysia memang prihatin, ramai menyatakan hasrat untuk memberi bantuan.
“Begitupun, saya dengan rendah hati menolak sebarang bantuan dan lebih gembira sekiranya ia diberikan kepada insan yang lebih memerlukan,” katanya menerusi laman Facebook live di sini semalam.
Sebelum ini, video yang memaparkan Yati menunggang motosikal roda tiga sambil cuba melindungi seorang wanita OKU daripada panas terik dengan beg plastik sewaktu melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini tular di media sosial.
Penyebaran video berdurasi 28 saat itu menggamit simpati ramai netizen yang memuji keikhlasan Yati menjaga wanita OKU terbabit.
Yati memberitahu setakat ini, pendapatannya berniaga aiskrim potong dan produk kesihatan masih mencukupi untuk menyara keluarga. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment