Oleh MOHD AZLI ADLAN dan ZAKI SALLEH
PETALING JAYA – Bermula hari ini, solat berjemaah di hampir semua masjid dan surau di seluruh negara dilakukan tanpa penjarakan fizikal selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati pihak pengurusan masjid dan surau giat melakukan persiapan akhir bagi memudahkan jemaah menunaikan solat dengan merapatkan saf.
Kebenaran merapatkan saf itu adalah kali pertama dilaksanakan di seluruh negara sejak pandemik Covid-19 bemula pada Mac 2020.
Walau bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) norma baharu seperti mengimbas aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup muka masih dikuatkuasakan.
Di Kuala Terengganu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Ladang, Othman Abdullah, 70, berkata, dia dan AJK surau itu kembali merapatkan sejadah yang sebelum ini diletakkan pada jarak hampir satu meter berikutan SOP yang ditetapkan oleh pihak jabatan agama negeri berkenaan.
“Sudah dua tahun kita melaksanakan solat berjemaah (di masjid dan surau) pada jarak satu meter. Alhamdulillah mulai esok (hari ini) solat subuh berjemaah boleh rapatkan saf.
“Ramai jemaah meluahkan rasa gembira lebih-lebih lagi kita akan menyambut bulan Ramadan yang berbaki sehari lagi,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Othman, kapasiti jemaah di surau tersebut yang sebelum ini dihadkan kepada 60 orang kini bertambah lebih sekali ganda iaitu 150 orang pada satu-satu masa.
Selain itu, beliau memberitahu, jemaah juga tidak perlu membawa sejadah masing-masing untuk menunaikan solat berjemaah di surau itu mulai hari ini.
“Dengan pemansuhan penjarakan fizikal, saya amat berharap Surau Ladang ini kembali diimarahkan oleh penduduk.
“Kebetulan kita semakin hampir menuju bulan Ramadan yang berkat, banyak program telah diatur di surau ini.
“Marilah kita menjayakan ‘kemenangan’ ini, namun harus tetap berjaga-jaga kerana virus Covid-019 masih belum lenyap,” katanya.
Di Ipoh, pematuhan SOP di masjid dan surau di negeri itu tetap diteruskan seperti biasa termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka, membawa sejadah sendiri kecuali saf dirapatkan.
Ahli Jawatankuasa Masjid al-Furqan, Taman Pengkalan Jaya, Zulkifli Baharom berkata, tiada perubahan besar dibuat dan pemantauan akan dilakukan terhadap jemaah yang melanggar SOP yang telah ditetapkan.
“Kita amat berharap jika ada individu yang bergejala seperti batuk atau bersin agar tidak mengunjungi masjid bagi mengelak sebarang risiko sekiranya mereka dijangkiti Covid-19,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment