Translate

Thursday, September 5, 2013

Kontinjen Perak terima habuan


ATLET, jurulatih dan persatuan sukan kontinjen Perak yang menyumbang pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur Julai lalu menerima insentif daripada kerajaan negeri Perak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, mereka merupakan atlet daripada acara judo, silambam, bola baling, muay thai, ping pong, bola lisut, lawan pedang, ekuestrian dan bola tampar.
“Kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM147,000 merangkumi RM100,000 untuk atlet, jurulatih (RM20,000) dan persatuan sukan (RM27,000).
“Ia merupakan penghargaan dan galakan terhadap pencapaian mereka menyumbang pingat kepada kontijen Perak pada Sukma 2013,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Sukma 2013 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Ipoh semalam.
Turut hadir Pengarah MSN Perak, Musa Dun dan Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Puhat Mat Nayan yang juga Ketua Kontinjen Perak pada Sukma 2013.
Shahrul Zaman berkata, atlet acara individu yang merangkul pingat emas iaitu Nurul Hawa Saharuddin, Nur Qurratuaini Mahathir dan Nor Fazirz Mohamed bagi sukan judo serta atlet silambam, M. Karan Kaundar dan M. Tilagaan masing-masing menerima insentif RM3,000.
Tambah beliau, pemain skuad bola baling yang turut menyumbang pingat emas, menerima insentif berjumlah RM1,500 setiap seorang.
“Insentif RM2,000 dan RM1,000 masing-masing untuk pemenang pingat perak acara individu dan berpasukan. Atlet acara individu yang menyumbang pingat gangsa pula menerima insentif RM1,000 manakala RM500 pula untuk atlet acara berpasukan,” katanya.
Shahrul Zaman berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan prestasi kontinjen Perak yang merangkul sembilan pingat emas, lima Perak dan 13 gangsa pada temasya kali ini.
Katanya, biarpun berada di kedudukan kesembilan keseluruhan, ia jauh lebih baik daripada prestasi terburuk pada dua Sukma terdahulu termasuk Sukma 2011 di Kuala Lumpur yang menyaksikan kontinjen Perak berada di posisi terakhir tanpa sebarang pingat emas.
“Pada Sukma di Perlis tahun depan, kita meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan lima teratas dengan sasaran sekurang-kurangnya 30 pingat emas.
“Itu KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang saya beri kepada Pengarah MSN Perak yang baharu. Saya yakin kita sedang berada pada landasan yang betul,” katanya.

No comments:

Post a Comment