Translate

Saturday, September 28, 2013

Dihempuk kerusi lipat, besi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Sepasang kekasih tidak menyangka tindakan mereka menjual aksesori telefon bimbit dengan harga murah mengundang rasa tidak puas hati peniaga lain yang kemudian bertindak membelasah mereka menggunakan besi, kayu dan kerusi lipat Selasa lalu.
Kejadian di tapak Pasar Malam Medan Ipoh di sini pada pukul 10 malam itu mengakibatkan pasangan dikenali sebagai Foo, 29, dan Liew, 26, masing-masing terpaksa menerima 10 dan lima jahitan di kepala selepas dibelasah tiga peniaga aksesori telefon bimbit lain di situ.
Foo mengesyaki kejadian itu berlaku akibat persaingan dalam perniagaan kerana mereka menjual barangan aksesori tersebut lebih murah antara RM1 hingga RM2 bagi setiap barangan selain mempunyai pelanggan setia hingga menyebabkan kedai peniaga lain kurang mendapat sambutan.

Mengimbau semula kejadian itu, Foo memberitahu, sebelum kejadian, mereka sedang bersiap-siap mengemas barang jualan di gerai sebelum didatangi tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Katanya tanpa sepatah kata, ketiga-tiga suspek memukulnya dengan kayu dan besi.

"Saya cuba mengelak dan berlari menyelamatkan diri ke sebuah lagi gerai yang dijaga kekasih saya tidak jauh dari tempat kejadian.

"Tanpa diduga, mereka turut membelasah kekasih saya dan menghentaknya dengan kerusi lipat. Mereka hanya berhenti selepas dileraikan oleh beberapa peniaga lain dan pengunjung pasar malam," dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, ekoran kejadian itu, pasangan kekasih yang telah berniaga sejak dua tahun lalu di kawasan tersebut cedera di kepala selain lembam di paha, lengan dan lutut.

Menurut Foo, mereka hampir pengsan dikerjakan peniaga samseng tersebut sebelum dihantar oleh orang ramai ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Saya syak serangan itu berpunca daripada persaingan dalam perniagaan. Kami dicemburui kerana menjual barang dengan harga lebih murah dan sentiasa menjadi tumpuan pelanggan," dakwanya.

Ekoran itu, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini kelmarin.

Sementara itu, Liew memberitahu, dua dan kekasihnya kini hidup dalam ketakutan dan trauma akibat dibelasah kerana suspek mengugut tidak akan melepaskan mereka jika perkara itu diadukan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian tersebut dan masih belum membuat sebarang tangkapan setakat ini.

No comments:

Post a Comment