Translate

Monday, September 2, 2013

Mati ditembak depan kedai bapa

IPOH - Ketika polis memperhebatkan usaha memburu ahli kumpulan samseng menerusi Ops Cantas Khas sejak 23 Ogos lalu, seorang pembunuh upahan seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila bertindak menembak mati seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.
Kejadian di Jalan Raja Perempuan Mazwin, Taman Rishah di sini pada pukul 7.15 pagi itu mengakibatkan S. Jambu Keshan, 39, mati selepas terkena tiga das tembakan di kepala dan belakang badan.
Tragedi berdarah yang mengejutkan ahli keluarga mangsa itu berlaku di hadapan restoran milik bapanya. Ketika itu, mangsa yang berkhidmat selama 19 tahun dalam TUDM sedang mengeluarkan bahan-bahan mentah untuk kegunaan perniagaan dari kereta jenis Perodua Kancil miliknya.

Difahamkan, selepas menamatkan perkhidmatan dalam TLDM lima tahun lalu sebagai Pegawai Kawalan Trafik Udara berpangkat Laskar Udara Kanan, Jambu Keshan membantu bapanya menguruskan restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian berlaku apabila mangsa didatangi sebuah kereta Toyota Vios berwarna kelabu yang dinaiki tiga lelaki.

Katanya, salah seorang suspek memakai topi keledar bertutup penuh yang berada di tempat duduk belakang keluar lalu menghampiri bapa kepada tiga anak tersebut.

"Suspek kemudian terus melepaskan empat das tembakan yang mana tiga daripadanya mengenai kepala dan belakang badan mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta tersebut.

"Selain si penembak, terdapat dua lagi rakannya di dalam kereta itu. Siasatan menemui tiga kelongsong peluru berukuran 9 milimeter di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambahnya, ahli keluarga mangsa kemudian bergegas membawa Jambu Keshan ke Hospital Raja Permaisuir Bainun namun dia disahkan mati ketika dalam perjalanan.

Menurut Chang Keong, pihaknya sedang menyiasat motif kejadian tersebut yang merupakan kes tembak pertama selepas polis melancarkan Ops Cantas Khas pada 23 Ogos lalu.

"Kita sedang menyiasat sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau melibatkan perniagaan bapa mangsa," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Polis Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ahli keluarga mangsa enggan ditemu bual keran masih terkejut dan bersedih dengan kematian Jambu Keshan.

No comments:

Post a Comment