Translate

Thursday, September 12, 2013

Permohonan bedah siasat ditolak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan seorang peniaga, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya, Sherul Aizam yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz, Silibin pada 20 Julai lalu.
Hakim Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian selepas mendapati permohonan afidavit yang dihantar menerusi peguam, Mohd. Fitri Asmuni tersebut tidak berasas.
“Adakah keputusan bedah siasat kedua boleh memenuhi kehendak pemohon? Jika tidak, kenapa hendak diteruskan?
“Laporan perubatan (keputusan bedah siasat) pertama direkod dengan teliti kawasan-kawasan lebam. Punca kematian disahkan akibat postural asphyxia (sesak nafas akibat tersepit) dan kesan tiga jenis dadah yang terdapat dalam badan si mati.
“Lebam itu tidak menyebabkan kematian,” jelas beliau ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Zainal Adzam menjelaskan, prosedur bedah siasat kedua tersebut jika diteruskan adalah perbuatan sia-sia kerana ia tidak mampu untuk memenuhi kehendak keluarga yang mahu mendapatkan kepastian terdapat unsur jenayah pada kesan lebam pada badan si mati.

Dalam pada itu, Zainal Adzam juga berkali-kali menegur Mohd. Fitri agar memberi nasihat yang betul dan jelas kepada anak guamnya serta tidak mengemukakan hujahan hanya berdasarkan cakap-cakap semata-mata.

Beliau berkata, institusi kehakiman terikat dengan Akta Keterangan 1950 yang hanya mengiktiraf fakta keterangan dan hujahan berdasarkan cakap-cakap tidak diambil kira.

"Mahkamah tidak boleh arahkan sewenang-wenang doktor hospital kerajaan mahupun swasta lakukan bedah siasat tanpa bukti kukuh.

"Peguam patut beri nasihat yang jelas kepada anak guam anda. Pohon perintah inkues di Mahkamah Majistret mengikut Sesyen 337, Kanun Acara Jenayah, itu cara undang-undang sebenar,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amri Johari dalam hujahan balasnya sebelum itu berkata, pihak pendakwaan tidak ada halangan untuk membenarkan proses bedah siasat kedua terhadap jenazah si mati.

Bagaimanapun kebenaran itu ditawarkan dengan syarat bedah siasat itu tidak boleh dilakukan oleh oleh doktor hospital kerajaan dengan kos bedah siasat ditanggung pihak keluarga dan jenazah dikebumikan segera setelah prosedur tersebut selesai.

No comments:

Post a Comment