Translate

Thursday, September 19, 2013

Aplikasi Perak Travel bantu pelancong

TAPAH - Kerajaan negeri Perak melalui agensi penggalakan perlancongan, Tourism Perak melancarkan aplikasi telefon pintar, Perak Travel untuk kemudahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, aplikasi yang dihasilkan dengan kerjasama KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) tersebut bertujuan memudahkan pelancong dalam dan luar negara melawat tempat menarik di negeri ini.
“Aplikasi Perak Travel boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna telefon pintar yang menggunakan peranti Android dan juga Iphone.

“Maklumat pelancongan Perak kini boleh diakses di hujung jari sahaja,” katanya selepas pelancaran aplikasi tersebut yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Malaysia ke-50 peringkat Perak di Stadium Mini Tapah di sini semalam.

Ia dilancar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Nolee Ashilin berkata, semua maklumat lokasi dan informasi am mengenai produk pelancongan yang terdapat di Perak seperti Taman Negeri Royal Belum, Pulau Pangkor, Gua Tempurung, Kuala Kangsar dan Taiping dimuatkan di dalam aplikasi tersebut.

Tambahnya, Perak Travel juga menyertakan aplikasi Peta Google sebagai panduan kepada pelancong untuk ke tempat tarikan pelancongan.

“Setakat ini Perak Travel versi 1.0 dalam bahasa Melayu dan kita bercadang untuk menaiktaraf aplikasi tersebut dalam bahasa-bahasa lain tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment