azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Perancangan licik seorang Orang Kena Tahan (OKT) untuk melarikan diri dapat memperdayakan seorang anggota polis pengiring sebelum dia lesap dengan membonceng sebuah motosikal yang sedia menunggu di Hentian Gunung Semanggol berhampiran Bukit Merah dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 4 petang itu berlaku apabila H. Panner Selvam, 42, yang baru keluar dari tandas selepas membuang air kecil di hentian berkenaan bertindak mengasari anggota polis yang mengiringinya.
Panner Selvam mempunyai satu rekod jenayah berkaitan curi.
Suspek dari Kepala Batas, Pulau Pinang, sepatutnya dijadualkan menghadiri pembicaraan kes penipuan pembelian kereta di Mahkamah Majistret Sungai Siput semalam.
“Kenderaan polis yang membawanya kemudian berhenti di hentian tersebut setelah dia mengadu hendak membuang air kecil.
“Ketika polis hendak menggari tangannya ke belakang sebaik dia keluar dari tandas, tanpa diduga suspek telah menolak anggota polis pengiring sehingga terjatuh sebelum melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal Yamaha yang sedia menunggu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, motosikal itu dilihat memecut dengan melawan arus ke Bukit Merah, Bagan Serai dekat sini.
Menurut Acryl Sani, pihaknya telah menubuhkan dua pasukan khas untuk memburu suspek yang mempunyai tujuh proses perbincaraan di mahkamah Sesyen dan Majistret Kulim, Bandar Bharu, Sungai Petani, Gurun, Yan dan Kuala Kangsar melibatkan kes penipuan pembelian kereta.
“Dua anggota pengiring yang terlibat dakam kejadian itu telah diarahkan bertugas di bahagian pengurusan sementara siasatan selesai," katanya.
Kes disiasat mengikut Sesyen 224/223 Kanun Keseksaan kerana tentangan oleh seseorang terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang atas dirinya dan penjawat awam dengan cuainya membiarkan seseorang lari dari pengurungan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Panner Selvam diminta menghubungi Polis Perak di talian 05-2451222.
No comments:
Post a Comment