Translate

Thursday, September 19, 2013

Perak mahu rebut peluang pertambahan pelajar ke UiTM

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang menyusun program bersepadu bagi memastikan anak-anak negeri tersebut tidak ketinggalan mengisi enrolmen ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal dipertingkatkan kepada 250,000 orang menjelang tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, untuk tujuan itu, Yayasan Perak telah mengatur program bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar di negeri tersebut terutama di luar bandar.

“Kita mahu pastikan seramai mungkin pelajar di negeri ini cemerlang dalam akademik sekali gus memenuhi syarat kelayakan untuk memasuki IPT termasuk UiTM.

“Kebetulan Perak juga terlibat dalam pembinaan kampus baharu UiTM iaitu di Tapah yang fasa kedua dan ketiga sedang dalam pembinaan, kita perlu rebut peluang ini,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas agenda meningkatkan enrolmen pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada 250,000 orang menjelang tahun 2020 serta menubuhkan kampus baharu dalam program Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (MPEB) yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu.

Muhammad Amin berkata, program pengukuhan akademik yang akan diadakan dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bakal dilancarkan pada masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau menganggap pelan meningkatkan enrolmen pelajar di UiTM berkenaan merupakan pendekatan transformasi pendidikan yang memberi manfaat kepada Bumiputera.

“Lebih ramai Bumiputera bakal disediakan untuk bidang profesional dan berkemahiran tinggi seiring permintaan pasaran kerja masa kini dan hadapan.

“Ia juga merupakan pendekatan berkesan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial pada jangka panjang sekali gus membolehkan lebih ramai Bumiputera turut serta mendapat limpahan status negara berpendapatan tinggi yang bakal dicapai menjelang tahun 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment