Translate

Sunday, September 15, 2013

Ops Cantas bukan operasi rasis

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pasukan itu bersifat perkauman dengan menyasarkan kaum-kaum tertentu ketika membuat tangkapan dalam operasi Ops Cantas Khas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana statistik menunjukkan tangkapan tertinggi terdiri daripada mereka dalam kalangan kaum Melayu.
“Kita tangkap paling ramai Melayu iaitu 15,000 orang berbanding kaum India iaitu 3,000 orang. Adakah itu rasis? Jangan membuat tuduhan (perkauman) kerana ia tuduhan yang jahat.
“Kami menjalankan tanggung jawab mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif National Blue Ocean Strategy : Go Safety Points di Stesen Minyak Petron dekat Jalan Khucai Lama di sini semalam.

Menurut Khalid, bagi kes tembak di Cheng, Melaka pada Rabu lalu misalnya, pihaknya melepaskan tembakan ke atas dua lelaki disyaki ahli Geng 06 apabila mereka bertindak agresif melepaskan tembakan ke arah polis.

"Suspek bertindak ganas. tidak mungkin kita akan berpantun dahulu sebelum bertindak," katanya.

Jelas beliau, sejak Ops. Cantas Khas dilancarkan pada 17 Ogos lalu, seramai 155,980 individu telah diperiksa manakala 6,515 ditahan di seluruh negara.

Khalid memberitahu, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 130 individu akan dituduh di mahkamah mengikut Akta Pertubuhan 1960 iaitu terlibat dalam kumpulan yang telah diharamkan kerajaan manakala 50 orang akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

"Kita masih belum berpuas hati selagi jenayah masih ada..pelbagai lagi inisiatif dalam memerangi jenayah akan dilaksanakan secara berterusan termasuk mengesan kepala gangster," kata beliau.

Sementara itu di Pulau Pinang, polis menahan empat lelaki disyaki ahli Geng 04 dalam operasi di lima buah premis hiburan di sekitar bandar itu semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Komisioner Mazlan Kesah, pemeriksaan mendapat keempat-empat suspek yang berusia 20 tahun hingga 30 tahun itu memiliki tatu pada badan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga batang rotan, cota dan sejumlah dadah.

Di Perak pula, seramai 23orang termasuk 15 lelaki dipercayaiu anggota kumpulan kongsi gelap ditahan di empat daerah di negeri itu semalam.

Kesemua suspek diberkas menerusi Ops. Cantas Khas itu disiasat mengikut Seksyen 43, Akta Pertubuhan 1960.

No comments:

Post a Comment