Translate

Wednesday, September 25, 2013

12 pemain Perak hadir beri keterangan

SERAMAI 12 pemain Perak tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah bola sepak di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Mereka ialah Khairul Amri Salahuddin, Farizal Marlias, Mohd. Nasir Baharuddin, Mohd. Syazwan Mohd. Roslan, Ahmad Shukri Ahmad Hamid, Khairul Asyraf Sahizah, Nurhakim Isa, Mohd. Nazri Mohd. Kamal, Mohd. Failee Mohd. Ghazali dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin.
Turut hadir dua pemain import skuad Seladang iaitu Paulo Rangel dan Rafael Souza serta penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan.
Haizal dilihat pemain pertama muncul di pekarangan pejabat SPRM Perak pada pukul 2 petang diikuti pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat sehingga 2.40 petang.
Yee Fatt pula dilihat melangkah tenang memasuki pejabat agensi pencegahan rasuah itu bagi memberi keterangan pada pukul 3 petang.
Sementara itu, Nurhakim berkata, mereka hadir untuk membantu siasatan kes dakwaan menjual perlawanan pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia yang berakhir Perak tewas 1-6 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.
“Proses keterangan bagi setiap pemain memakan masa antara sejam setengah sehingga tiga jam. Kami ditemu bual di dalam bilik yang berasingan,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.
Difahamkan, baki 12 lagi pemain termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapha dan pegawai pasukan serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan tampil memberi keterangan kepada SPRM hari ini dan esok.
Kosmo! semalam melaporkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa kelmarin.
Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah pihaknya mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah membabitkan skuad Kejor Yob Kejor berikutan kekalahan besar kepada Sarawak.

No comments:

Post a Comment