Translate

Monday, September 30, 2013

Bayaran BR1M 3.0 terus masuk akaun

IPOH – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 bakal menerima bayaran melalui dua peringkat mulai tahun hadapan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, wang bantuan itu pula akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bukannya secara tunai atau baucar seperti yang dilakukan sejak tahun lepas.
Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan penerima menggunakan wang bantuan secara berhemah dan berbelanja mengikut keperluan.

"Kerajaan bercadang untuk membuat dua kali pembayaran BR1M dengan wang bantuan dimasukkan terus ke dalam akaun bank masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan Dua, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Di bawah BR1M 2.0, kerajaan menyalurkan dana sebanyak RM3 bilion kepada 6.1 juta penerima.

Ahmad Husni bagaimanapun tidak menjelaskan bila pembayaran BRIM sebanyak dua kali itu akan dilaksanakan.

“Kita juga tidak boleh maklumkan lagi berapa jumlah yang mahu diberikan dalam BR1M 3.0 tetapi yang pasti lebih daripada RM500,” katanya.

Menurutnya, bantuan kepada isi rumah yang berpendapatan sederhana berskala RM4,000 hingga RM5,000 akan turut diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Katanya, kerajaan sedang melihat keperluan membantu isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol baru-baru ini.

“Kita akan bantu mereka dalam bentuk lain dan jenis bantuan itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment