azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Setelah 60 hari tersimpan di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, jenazah Sherul Aizam Mohd. Damanhuri, 27, akhirnya dikebumi oleh keluarganya semalam.
Jenazah pemuda yang mati tersepit di celah palang tingkap rumah jirannya pada 20 Julai lalu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini pada pukul 12 tengah hari.
Ibunya, Zaitun Hassan, 45, berkata, hatinya kini lega dan tenteram selepas jenazah anak sulung daripada empat beradik itu akhirnya disemadikan juga.
“Saya selalu terbayang betapa seksanya dia (Sherul Azam) dan tahu rohnya tidak tenteram selama berada di rumah mayat hospital (HRPB),” katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian anaknya itu yang dihadiri hampir 50 orang sanak-saudara dan sahabat handai mereka di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.
Zaitun memberitahu, sebagai seorang ibu, dia memang mahu jenazah Sherul Aizam dikebumikan segera tidak lama selepas meninggal dunia.
Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan dia perlu akur dan menghormati hasrat suaminya yang mahu mendapatkan kepastian punca sebenar kematian anak mereka.
Jenazah Sherul Aizam dituntut bapanya, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, Zaitun di Rumah Mayat HPRB pada pukul 11 pagi sebelum disembahyangkan di rumah mereka di Taman Saz, Silibin di sini.
Suasana pilu menyelubungi apabila mereka suami isteri dilihat sebak dan menitiskan air mata sebaik sahaja dibenarkan pengurusan HPRB mengambil jenazah Sherul Aizam.
Sementara itu, Mohd. Damanhuri menegaskan, perjuangannya untuk mendapatkan keadilan kematian Sherul Aizam tidak pernah berhenti biarpun jenazah anaknya tersebut sudah dikebumikan.
Dia berkata walaupun telah menarik balik rayuan permohonan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya, dia tetap akan menggunakan saluran undang-undang termasuk mempertimbangkan permohonan perintah inkues bagi mencari punca sebenar kematian anak sulung itu.
“Saya akan bincang dengan peguam untuk tindakan seterusnya. Saya bukan tidak reda ketentuan tuhan, bukan kematian tetapi cara kematiannya itu yang saya tidak boleh terima.
Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan lembam terutama pada leher dan dada.
Laporan bedah siasat yang dilakukan pihak HRPB pada 20 Julai lalu mendapati, punca kematian Sherul Aizam adalah akibat postural asphyxia (sesak nafas) dan kesan tiga jenis dadah dalam badannya.
Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam yang didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
No comments:
Post a Comment