Translate

Monday, September 23, 2013

Budak lemas di sungai


Oleh MOHD. AZLI ADLAN  dan AINSAFRE BIDIN 
berita@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Kelekaan seorang remaja menyaksikan rakan-rakan mandi di Sungai Bidor berakhir dengan tragedi apabila dia mati lemas selepas tergelincir ke dalam sungai itu di Kampung Ayer Hitam, Changkat Jong dekat sini semalam.
Mayat Abdul Rahman Abdul Aziz, 13, ditemui anggota bomba dan penyelamat di tengah-tengah Sungai Bidor selepas lebih dua jam mangsa tergelincir dari tebing sungai itu pada pukul 2.15 petang.
Ketua Bomba dan Penyelamat Perak Selatan, Abd. Samat Hashim berkata, sebelum kejadian mangsa keluar bersama lima rakan sekampungnya untuk mandi-manda di Sungai Bidor yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
"Bagaimanapun, sampai di sungai itu, Abdul Rahman yang tidak pandai berenang cuma duduk di tebing sambil melihat rakan-rakannya mandi.

"Namun tiba-tiba dia tergelincir apabila terpijak tanah tebing yang agak licin lalu dihanyutkan arus deras itu dan beberapa rakannya cuba menyelamat tetapi gagal," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, rakan-rakannya yang panik terus pulang dan memberitahu keluarga masing-masing mengenai kejadian menimpa mangsa.

Abd. Samat memberitahu, anggota bomba yang menerima maklumat itu terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat Abdul Rahman tetapi dia kemudian ditemui terapung di tengah-tengah sungai kira-kira 400 meter dari lokasi dia dilaporkan terjauth.

Mayat Abdul Rahman kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan di sini untuk di bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Sidi, 56, berkata, Abd. Rahman telah keluar dari rumah pada pukul 12 tengah hari dan memberitahu dia mahu ke rumah rakannya untuk menyiapkan kerja sekolah.

"Saya pesan agar dia pulang awal kerana kami bercadang untuk keluar ke pekan Bidor bagi membeli kasut dan seluar sukan untuk dia pada sebelah petang," kata Fatimah memberitahu Abdul Rahman merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Fatimah memberitau, anaknya itu berjanji dia akan pulang ke rumah pada pukul 2 petang tetapi tahu-tahu sahaja jiran memberitahu dia lemas di sungai.

No comments:

Post a Comment