IPOH – Seorang pemotong kayu balak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat dakwaan termasuk memecah masuk sebuah banglo milik seorang pemaju hartanah dan melarikan sebuah kereta mewah jenis Bentley milik mangsa di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada 6 September lalu.
Tertuduh, Voon Kok Chuan, 30, turut didakwa memandu kereta Bentley tersebut dengan cara merbahaya dengan niat menyebabkan kematian mangsa selain menghadapi satu pertuduhan pilihan iaitu menyimpan kereta curi berkenaan.
Di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab, tertuduh didakwa memecah masuk banglo mangsa yang bergelar Datuk Seri dan mencuri kunci kereta Bentley, serangkai kunci rumah dan kunci sebuah kereta Honda milik mangsa dengan nilai keseluruhan RM800,000.
Kesemua pertuduhan tersebut dikemuka Timbalan Pendakwa Raya, S. Kavita mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A dan Seksyen 411 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan yang didengar di hadapan Majistret Suhaima Mohd. Nor pula, tertuduh didakwa memandu kereta mewah itu secara berbahaya dengan niat mahu menyebabkan kematian mangsa.
Pertuduhan yang dikemuka Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan tersebut pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kok Chuan membuat pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan sebaik kertas pendakwaan selesai dibacakan dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah.
Nur Melati Diana dan Suhaima membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM16,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober dan 31 Oktober depan.
Kosmo! 7 September lalu melaporkan sebuah kereta mewah Bentley ditemui semula selepas lapan jam dilarikan penjenayah dari sebuah banglo di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini.
No comments:
Post a Comment