Translate

Sunday, September 15, 2013

Damanhuri tetap enggan kebumikan mayat anak

IPOH - Bapa kepada Sherul Aizam, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat tetap dengan pendirian untuk tidak mengkebumikan jenazah anaknya selagi prosedur undang-undang berkaitan punca kematian pemuda itu tidak diselesaikan.

"Saya sudah berbincang dengab penguam, Mohd. Fitri (Asmuni) tadi (semalam). Kami sepakat untuk memfailkan rayuan (tentang keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bedah siasat kedua) di Mahkamah Rayuan (Putrajaya) esok (hari ini).

"Biarlah selesai (prosedur perundangan) dulu, baru kebumikan anak saya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ekoran keputusan itu, mayat Sherul Aizam, 27, yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz, Silibin di sini 20 Julai lalu dijangka terus berada di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk tempoh lebih lama.

Sehingga hari ini, jenazah Sherul Aizam telah disimpan di bilik mayat HRPB selama 52 hari.

Mohd. Damanhuri, 50, berkata, usaha untuk memfailkan rayuan bukan bermaksud tidak menghormati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani tetapi bagi mendapatkan keadilan buat anaknya.

"Itu hak beliau (menolak permohonan bedah siasat kedua), namun saya tetap memperjuangkan hak saya sebagai bapa bagi mendapatkan keadilan untuk anak saya," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.

Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan lembam terutama pada leher dan dada.

Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam yang didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap  dapur kediaman itu kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

No comments:

Post a Comment