Translate

Tuesday, September 10, 2013

Asir pelari dahulu, kini dan selamanya

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

MELIHAT kelibat warga emas ini masih gigih berlatih berlari di sekitar bandar raya Ipoh, Perak hampir setiap petang biarpun sudah dimamah usia 73 tahun mengagumkan ramai orang.
Di sebalik pekerjaan sekarang sebagai peniaga sayur di Pasar Buntong, Ipoh, individu yang bernama Datuk Asir Victor ini sebenarnya adalah Raja Pecut bagi kategori acara 400 meter pada era 1960-an.

Sepanjang 14 tahun menjadi sandaran negara dalam sukan olahraga terutama acara 400 meter dan 4 x 400 meter lari berganti-ganti, Asik telah merangkul 11 pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa di peringkat Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Malah bekas pemegang rekod kebangsaan bagi acara 400 meter dengan catatan 47.3 saat sebelum dipecahkan Nordin Jadi pada tahun 1987 pernah beraksi tiga kali di kancah Sukan Olimpik iaitu Tokyo (1964), Mexico (1968) dan Munich (1972).

Mengimbas kembali penglibatannya dalam olahraga, Asir memberitahu beliau mula serius untuk menjadi atlet ketika berusia 16 tahun.

“Waktu itu saya yang mewakili Sekolah St. Micheal, Ipoh sering memenangi acara lari 400 meter di peringkat daerah dan negeri.

“Ia meningkatkan keyakinan saya untuk atlet negara. Masa itu mana ada jurulatih, jadi hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah, saya berlatih sendirian di padang Taman Coronation, Ipoh (sekarang dikenali sebagai Taman DR Seenivasagam) ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Buntong, Ipoh baru-baru ini.

Usaha gigih Asir itu tidak sia-sia apabila kelibatnya mula menjadi perhatian pegawai dan jurulatih olahraga negara setelah menyerlah dalam satu kejohanan peringkat kebangsaan yang diadakan di Padang Ipoh pada 1958.

Beliau mengejutkan ramai pihak apabila muncul pemenang pingat emas bagi acara 400 meter biarpun terpaksa berlari berkaki ayam ekoran ketidakmampuan membeli kasut sukan.

“Sejak itu saya terpilih atlet kebangsaan dan mula mewakili negara dalam Sukan Seap (sekarang dikenali Sukan Sea) di Rangoon, Myanmar pada 1961 ketika berusia 21 tahun.

“Dalam penyertaan sulung itu, saya menggondol dua pingat emas dalam acara kegemaran 400 meter dan 4 x 400 meter,” jelas pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut.
Berikutan sumbangan cemerlang Asir dalam perkembangan sukan negara, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah berkenan mengurnia pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada beliau pada tahun 2010.

Asir berkata, biarpun mengundurkan diri sebagai atlet kebangsaan pada usia 34 tahun selepas Sukan Asia di Tehran, Iran (1974) kerana masalah kecederaan, kecintaannya kepada sukan olahraga tidak pernah pudar.

Ujarnya, sejak 37 tahun lalu bermula tahun 1976, beliau tidak pernah ketinggalan menyertai kejohanan olahraga bagi kategori veteran di peringkat antarabangsa hampir setiap tahun.

Antara kejohanan veteran yang disertainya ialah Kejohanan Olahraga Veteran Dunia, Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia dan Sukan Olahraga Veteran Asia.
“Terbaru saya menyertai Kejohanan Olahraga Veteran Dunia di Porto Alegre, Brazil pada Oktober tahun lalu.

“Kebanyakan kos penyertaan saya di kejohanan peringkat veteran itu dibiayai sendiri dengan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan gratuiti. Semuanya demi kebanggaan mengibarkan bendera negara,” kata bapa kepada dua anak lelaki tersebut.

Asir memberitahu, kenangan paling manis sepanjang penyertaannya dalam kejohanan olahraga peringkat veteran ialah berjaya mencipta rekod dunia bagi acara 400 meter bagi kategori tersebut dengan catatan 51.9 saat.
Kejayaan yang dicipta beliau pada Kejohanan Olahraga Veteran Dunia di Durban, Afrika Selatan pada tahun 1997 itu telah membakar lagi semangatnya untuk terus bergiat dalam sukan olahraga sehingga ke akhir hayat.

Beliau berkata, kecintaan mendalam pada sukan olahraga, disiplin yang tinggi dan dorongan kuat daripada ibunya, V. Syriapuspan, 80-an, merupakan resipi kejayaan beliau selama ini.

“Pesan saya kepada atlet muda, anda tidak akan berjaya tanpa disiplin dan dedikasi. Kita juga perlu persatuan olahraga yang kuat untuk mengembalikan kegemilangan silam,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment