Translate

Sunday, September 1, 2013

Bekas banduan kempunan samun van rokok

IPOH - Tiga penjenayah bukan sahaja gagal mendapat hasil samun malah salah seorang daripada mereka diberkas polis ketika cuba melarikan sebuah van membawa muatan rokok bernilai RM30,000 di Jalan Kuala Kangsar Khamis lalu.

Kejadian pada pukul 10.15 pagi itu berlaku ketika tiga suspek yang bersenjata pisau menghampiri seorang pekerja yang sedang memunggah kotak rokok di hadapan sebuah restoran di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sewaktu kejadian, seorang suspek mengacu pisau pada leher mangsa manakala seorang lagi menolak lekaki itu ke dalam van.

Katanya, suspek ketiga pula merampas kunci kenderaan.

"Perbuatan itu bagaimanapun dilihat oleh anggota polis yang sedang meronda menyebabkan mereka terpaksa beredar.

"Salah seorang daripada suspek dapat diberkas di lokasi kejadian," katanya pada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.

Pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu baru dibebaskan dari penjara dua bulan lalu dan memiliki dua rekod jenayah dadah dan samun.

Siasatan turut mendapati kumpulan suspek itu terlibat dalam tiga kes samun van rokok di Bercham, Chemor dan Tanjung Rambutan membabitkan kerugian RM90,000 sejak dua bulan lalu.

Suspek yang dipercayai dari Kuala Lumpur menyasarkan van yang sedang menghantar bekalan rokok di sekitar bandar raya ini untuk disamun.

"Hasil samun itu akan dijual untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

No comments:

Post a Comment