Translate

Wednesday, November 23, 2011

Kisdar dinaik taraf kolej universiti September 2012

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam diberitahu  Kolej  Islam Darul Ridzuan ( Kisdar ) bakal dinaik taraf menjadi  kolej   universiti  pada September tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, jawatankuasa teknikal yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Wan Zahir Wan Nordin telah menghantar dokumen menaik taraf  Kisdar  kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 Oktober lalu.

"Secara prinsipnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, permohonan  Kisdar  untuk menjadi  kolej   universiti  akan diluluskan selewat-lewatnya Mac 2012.

"Oleh itu,  Kisdar  dijangka memulakan operasi sebagai  kolej   universiti  mulai sesi kemasukan pelajar 2012/13 pada September tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Bukit Chandan) pada persidangan Dewan di sini semalam.

Mohammad Zahir berkata, sebagai persediaan pengurusan  Kisdar  telah mengambil beberapa inisiatif seperti menjalin kerjasama dengan  Universiti  Utara Malaysia.

Menurut beliau,  Kisdar  yang diterajui Rektornya, Prof. Madya Dr. Jamil Hashim kini mempunyai 300 kakitangan termasuk 99 pensyarah tempatan dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment