IPOH - Kerajaan negeri Perak buat julung kalinya mengambil inisiatif mengasingkan akaun hasil yang tidak menetapi prinsip syariah mulai tahun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN - Pangkor) memberitahu satu akaun khusus akan dibuka bagi tujuan kemasukan hasil tersebut yang dianggarkan sebanyak RM16 juta.
Katanya, antara hasil yang tidak menetapi prinsip syariah itu ialah cukai, lesen dan bayaran pendaftaran kelab malam, lumba kuda, snuker, permit hiburan dan tiket pawagam.
“Selain itu, keuntungan yang diterima melalui pembiayaan pinjaman dan pelaburan secara konvensional turut di masukkan ke dalam akaun khusus berkenaan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Beliau menjelaskan akaun khusus berkenaan tetap menjadi sebahagian daripada Akaun Hasil Disatukan dan bakal digunakan untuk tujuan membiayai projek pembangunan.
Zambry turut mengumumkan penjawat awam daripada Kumpulan Sokongan yang bakal bersara mulai tahun depan akan menerima skim pemberian khas dalam bentuk sijil Amanah Saham Wawasan daripada kerajaan negeri Perak berjumlah RM3,000 seorang.
No comments:
Post a Comment