Translate

Sunday, December 18, 2011

Return 2 Green perluas produksi produk mesra alam

IPOH - Syarikat pembuatan produk pembungkusan biodegradasi tempatan,  Return  2  Green  Sdn. Bhd. ( Return  2  Green ) akan membangunkan sebanyak 18 buah kilang di seluruh negeri Perak pada tahun depan.

Naib Pengerusinya, Datin Rahmah Kassim berkata, dua daripada 18 lokasi kilang itu telah dikenal pasti iaitu Kawasan Perindustrian Pelabuhan Lumut dan Taman Teknologi Tinggi Perak, Khatan, Chemor di sini.

"Dua kilang terbabit dijangka akan beroperasi pada suku pertama tahun 2012, sementara baki 16 akan dibangun secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun tersebut.

"Kos pelaburan bagi setiap kilang akan menelan belanja sebanyak RM6 juta dan mampu menghasilkan purata sejuta produk pembungkusan biodegradasi seperti pinggan dan cawan kertas sehari," katanya selepas menandatangani perjanjian berhubungan pembangunan 18 kilang itu dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Samsudin Hashim di sini semalam.

Rahmah berkata, produk biodegradasi yang dihasilkan  Return  2  Green  bersifat mesra alam, mudah terurai kerana dihasilkan daripada sisa pertanian semula jadi seperti sekam padi, hampas tebu dan serat batang pisang.

Menurut beliau, bagi pengeluaran kilang yang bakal dibina di Perak, pihaknya bercadang untuk mendapatkan bahan mentah bagi penghasilan produk pembungkusan mudah terurai terbabit dari beberapa kawasan pertanian di seluruh negeri Perak.

"Setakat ini, kami telah mengenal pasti untuk mendapatkan sekam padi daripada kawasan jelapang padi di Kerian, sementara serat batang pisang dari Lawin, Gerik," katanya.

No comments:

Post a Comment