Translate

Monday, November 14, 2011

180 bakal gengster Melayu dicekup

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 LUMUT – Sekumpulan 180 individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap di sebuah resort di Teluk Batik di sini kelmarin.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, semua ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama Genki Seven Malaysia (Generasi Kini Tujuh Malaysia) termasuk tujuh wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu melakukan serbuan di resort tersebut.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka sedang membaca ikrar dipercayai berkaitan dengan kegiatan ala kongsi gelap.

“Kumpulan berkenaan dipercayai mendaftar masuk ke resort itu pada petang semalam (kelmarin) dengan berselindung di sebalik program hari keluarga,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, ikrar yang dibacakan oleh kumpulan itu adalah ikrar sumpah untuk taat setia kepada ketua kumpulan dan akan saling melindungi ahli-ahlinya.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah 39 pelajar termasuk 33 orang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Turut ditahan tiga kakitangan yang bekerja dengan agensi kerajaan. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak.

Genki Seven Malaysia yang hampir keseluruhannya dianggotai orang Melayu dipercayai baru ditubuhkan pada 2006 dan didakwa berpusat di Ipoh.

Kumpulan itu kini memperluaskan sayapnya dengan membuka cawangan di Taiping. Genki Seven Malaysia juga sedang mencari ahli-ahlinya dalam kalangan orang muda dan mereka yang masih bersekolah.

“Siasatan polis mendapati perhimpunan haram yang dipercayai menjurus aktiviti kongsi gelap itu didalangi seorang kakitangan agensi kerajaan yang bekerja di Ipoh.

"Kebanyakan suspek terutamanya remaja yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan," kata beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, selepas proses dokumentasi selesai semua yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Sementara itu, sumber dalaman resort itu yang enggan dikenali mendakwa, pihak pengurusan tidak mengetahui perhimpunan membabitkan 180 individu itu merupakan peserta daripada pertubuhan haram.

"Mereka membuat tempahan untuk mengadakan program hari keluarga sebuah pertubuhan belia selama dua hari bermula semalam (kelmarin).

"Serbuan yang dilakukan pihak polis mengejutkan pengurusan resort ini namun kami sedia memberi kerjasama kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment