KUALA KANGSAR - Tiga orang termasuk sepasanga suami isteri maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kuala Kangsar - Manong dekat sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 10.30 pagi itu, Hasan Basri Hitam Saidin, 57, dan isterinya Siti Ainon Sahing, 45, maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan kereta Proton Saga.
Turut terbunuh ialah penumpang kereta Proton Saga, Salmah Din, 55.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Muhamad berkata, Hasan dan Salmah mati di tempat kejadian manakala Siti Ainon meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada pukul 12.54 tengah hari semalam.
Menurut beliau, anak saudara Salmah, Mohd. Kheran Mohamad Mokhtar, 18, yang memandu kereta Proton Saga cedera di mata.
Abdul Gaffar memberitahu, semasa kemalangan Mohd. Kherani dan Salmah dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulai Ketior, Manong dekat sini dari Kuala Kangsar.
"Tetapi apabila melalui satu sekolah di situ kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggangi Hasan dan Siti Ainon," kata beliau.
Akibat pertembungan itu kereta tersebut terbalik manakala pasangan suami isteri yang berasal dari Ulu Kenas dekat sini tercampak ke dalam semak.
Mayat ketiga-tiga mangsa yang cedera parah pada beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment