Translate

Wednesday, December 21, 2011

SKM sasar perolehan RM24 bilion


 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasar untuk meningkatkan perolehan koperasi di negara ini kepada RM24 bilion pada tahun depan.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md. Yusof Samsudin berkata, unjuran tersebut merupakan kenaikan enam peratus daripada perolehan yang dijana koperasi pada tahun ini iaitu kira-kira RM21 bilion.

"Berdasarkan penilaian Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), pusingan modal atau perolehan merupakan elemen penting yang dinilai bagi menentukan kejayaan sesebuah koperasi.

"Sehubungan itu, agenda meningkatkan perolehan semua koperasi di negara ini menjadi indeks prestasi utama (KPI) SKM mulai tahun depan," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) Perak di Bandar Meru Raya di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Perhubungan Angkasa Perak, Radzi Jaafar.

Oleh itu, Md. Yusuf berkata, SKM akan memberi tumpuan kepada 8,873 koperasi yang masih memperolehi pusingan modal berskala kecil dan sederhana iaitu di bawah RM5 juta setahun.

“Ia merangkumi peratusan besar iaitu 98.6 peratus daripada 9,000 koperasi yang wujud di negara ini. SKM akan bantu koperasi terbabit untuk meningkatkan perolehan masing-masing.

“Koperasi berkenaan juga dinasihat menceburi industri peladangan, hartanah dan pemprosesan yang mampu menjana keuntungan besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Md. Yusuf berharap peningkatan perolehan itu bakal menaikkan lagi standard koperasi tempatan di mata dunia seterusnya tersenarai antara 300 koperasi terbaik dunia.

Katanya, setakat ini, cuma Bank Rakyat telah tersenarai dalam laporan Global 300 dikeluarkan ICA sebagai koperasi ke-245 terbaik dunia.

No comments:

Post a Comment