Translate

Tuesday, December 6, 2011

Tiga penculik jutawan terima balasan


IPOH – Tiga penculik warga asing yang mati ditembak polis di sebuah ladang kelapa sawit Sabtu lalu merupakan penjenayah tegar di mana mereka telah melakukan empat kes penculikan di sekitar Kedah melibatkan wang tebusan berjumlah jutaan ringgit sejak awal tahun ini.

Suspek-suspek bersenjatakan pistol berusia di antara 25 dan 30 tahun tersebut dikatakan telah menculik dua mangsa di Kuala Muda dan masing-masing seorang di Kubang Pasu dan Kota Setar.


Difahamkan, suspek amat berbahaya kerana sanggup mendera kesemua mangsa sebelum dibebaskan sebaik mendapat wang tebusan. Wang tebusan ditetapkan mengikut tahap kekayaan keluarga mangsa.

Polis gagal menjejaki suspek sebelum ini kerana kes itu hanya dilaporkan selepas wang tebusan berpindah tangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek ditumpaskan oleh satu pasukan khas yang dianggotai polis Kedah, Perak dan Bukit Aman sebaik menerima laporan mengatakan anak seorang ahli perniagaan berusia 23 tahun dari Sungai Petani diculik pada 28 November lalu.

Katanya, abang mangsa yang menetap di Bukit Selambau, Sungai Petani telah memaklumkan kejadian itu sebaik dia menerima panggilan daripada penculik yang memintanya menyerahkan RM500,000 untuk membebaskan adiknya dalam bahasa Tamil.

"Polis yang membuat siasatan kemudian menemui tempat suspek menyembunyikan mangsa dan penjenayah telah ditumpaskan dalam kejadian berbalas tembak itu.

"Mangsa yang cedera ringan dan lebam di beberapa anggota badan akibat didera penjenayah kini dirawat di Hospital Sungai Siput," katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan polis menembak mati tiga penculik warga asing dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Siput dekat sini pada pukul 7 malam Sabtu lalu.

Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM500,000 itu mula menyerang dan enggan menyerah diri.

Menurut Mohd. Shukri, selain menembak mati penjenayah, polis turut merampas sepucuk pistol Revolver, empat bilah parang dan empat telefon bimbit milik suspek.

Beliau memberitahu siasatan polis juga mendapati ketiga-tiga penjenayah terbabit mengenali mangsa dan pernah bekerja sebagai pekerja kontrak dengan bapa mangsa yang menceburi industri hartanah dan pembinaan.

No comments:

Post a Comment