Translate

Saturday, October 31, 2009

Belum dapat perintah sebat Kartika

MELAKA - Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor atas kesalahan minum arak masih tidak dapat dijalankan kerana Jabatan Penjara masih belum mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah Kuantan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, Jabatan Penjara sudah menyediakan pegawai sebat untuk melaksanakan tugas berkenaan dan pihaknya hanya menunggu perintah mahkamah itu.

"Kita sudah membuat segala persiapan tetapi masalah yang timbul ialah kita belum lagi menerima perintah daripada Mahkamah Syariah Kuantan. Kita tidak pasti berapa lama lagi kita terpaksa tunggu sebelum hukuman itu dapat dilaksanakan.

"Jika kita dapat surat perintah, hukuman sebat itu akan dilaksanakan segera dan tidak timbul masalah di pihak kementerian," jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bangunan dan asrama baru Sekolah Henry Gurney, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang pada 20 Julai lalu setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu bagaimanapun ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan lalu selain Jabatan Penjara tidak mempunyai kepakaran dan pegawai pelatih untuk melaksanakan hukuman sebat mengikut cara dan kaedah syariah.

Sementara itu di Ipoh, bapak Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib memberitahu mereka tidak menerima sebarang maklumat baru mengenai tarikh pelaksanaan hukuman sebat itu.

Katanya, panel peguam yang tidak dilantik mewakili anaknya juga tidak menerima sebarang makluman rasmi daripad pihak berkuasa agama negeri Pahang berhubung pelaksanaan hukuman tersebut.

No comments:

Post a Comment