Translate

Sunday, October 11, 2009

Kolej Islam Darul Ridzuan

Tawar pelbagai program Pengajian Islam bagi lepasan SPM

HASRAT Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahu kesinambungan sejarah kecemerlangan sistem pendidikan negeri tersebut yang telah melahirkan ramai ulamak dan cendiakawan Islam peringkat negara dan antarabangsa diteruskan membawa kepada penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar).

Cetusan idea yang dikemukakan baginda pada 1986 itu kemudiannya telah dibincangkan secara serius di dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kira-kira lapan tahun kemudian.

Seterusnya Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan Kisdar telah diwujudkan pada 1997 yang kemudiannya kepada pembukaan kolej Islam berkenaan pada 16 Oktober 1999 di kampus sementaranya di Jalan Dato' Seri Shaari, Ipoh.

Semenjak itu Kisdar terus berkembang pesat dan ia mula berpindah ke kampus tetap yang bernilai kira-kira RM66 juta di Bukit Chandan, Kuala Kangsar mulai April 2008.

Kampus yang dibina di sebidang tanah yang diwakafkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah seluas 20.25 hektar itu dirasmikan Sultan Azlan dalam upacara penuh kesyukuran pada 16 Julai lalu.

Ia merupakan kampus yang serba-moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran yang selesa dan menekankan aspek akademik, kerohanian, sahsiah dan kesukanan.

Di bawah pimpinan Rektor, Prof. Datuk Dr. Muhammed Yusoff Hussain, Kisdar kni mempunyai barisan kakitangan akademik tempatan dan antarabangsa yang berdedikasi dan berkaliber bagi mencurahkan ilmu dan kepakaran kepada pelajarnya yang sudah berjumlah 820 orang.

Enam kursus berteraskan Islam ditawarkan iaitu Diploma Usuluddin, Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Diploma Perbankan dan Kewangan Islam, Diploma Perakaunan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Semua kursus sepenuh masa tersebuit telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA/LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) T terkemuka di Timur Tengah.

Sehubungan itu, lulusan Kisdar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Mesir, Syria dan Jordan seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan, Universiti Yarmouk, Universiti Mu’tah, Universiti Ahli Bait dan Universiti Hashimiyyah.

Berikutan itu, Kisdar disasar oleh Sultan Azlan untuk dinaiktaraf sebagai kolej universiti dan seterusnya universiti Islam dalam masa terdekat.

Bagi kemasukan sesi November, Kisdar menawarkan tempat untuk enam kursus terbabit kepada calon yang berminat dan berlayakan. Syarat kemasukan amat fleksibel iaitu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya tiga Kepujian.

Bantuan kewangan seperti Dermasiswa Baitulmal dan pinjaman dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak juga ditawarkan kepada calon yang berjaya dan menetapi kriteria ditetapkan.

Tarikh tutup permohonan ialah 3 November 2009 dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi 05-7700177.

No comments:

Post a Comment