Translate

Saturday, October 3, 2009

Bangunan runtuh, dua maut


IPOH – Dua terkorban dan seorang cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka ditimpa serpihan bangunan runtuh di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa di sini malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Zairi, 25, dan Firdaus, 23, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Kejadian pada pukul 9.50 malam itu berlaku ketika sebuah jentolak sedang melakukan kerja-kerja meruntuhkan sederet kedai lama di jalan terbabit.

“Bagaimanapun, hampir semua bangunan setingkat berkenaan tiba-tiba runtuh lalu menghempap empat buah kereta yang sedang melalui jalan tersebut,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang menaiki sebuah kereta Perodua Viva bersama seorang lelaki yang hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, kereta mangsa termasuk tiga kenderaan lain sedang berhenti di belakang jentolak terbabit yang menghalang laluan.

Selain mangsa yang terkorban, penumpang di dalam tiga buah lagi kenderaan termasuk pemandu jentolak tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk," ujarnya.

Tambahnya, pihak polis masih menyiasat mengapa kerja-kerja meruntuhkan bangunan itu dilakukan pada waktu malam dan tiada tanda amaran atau garisan sempadan dibuat.

1 comment: