berita@kosmo.com.my
KAMPAR - "Selepas jambatan runtuh, murid-murid memaut tali kabel jambatan dan kami sedaya upaya membantu mengangkat seorang demi seorang mangsa ke tebing sungai.
"Namun makin lama paras air sungai semakin naik, tiga murid yang sudah keletihan terlepas pautan dan dibawa arus. Mereka menjerit meminta tolong tetapi kami tidak mampu menyelamatkan mereka kerana aliran sungai terlalu deras."
Demikian cerita pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Mohd. Rosli Mohamad (gambar), 44, mengenai detik-detik cemas selepas jambatan gantung di situ runtuh.
Menurut Rosli, dia dan seorang pengawal keselamatan lain, Ismail Ahmad, 62, berlari ke lokasi yang terletak kira-kira 400 meter dari pos pengawal setelah mendengar jeritan murid-murid sekolah dan guru pengiring meminta tolong.
"Sampai di tempat kejadian, kami berdua terkejut melihat jambatan gantung telah hilang dengan peserta perkhemahan pula dilihat sedang berpaut pada tali jambatan tersebut.
"Kami minta murid-murid pegang kabel itu kuat-kuat sebelum kami berdua terjun ke dalam sungai dan mengangkat seorang demi seorang murid-murid sekolah itu," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Rosli memberitahu, kerja-kerja menyelamat turut dibantu beberapa fasilitator namun tidak lama kemudian paras air Sungai Kampar semakin naik dan deras hingga menyebabkan tiga peserta hanyut dibawa arus.
Katanya, tidak berapa lama selepas itu polis dan bomba yang dihubungi sampai untuk membantu mencari tiga pelajar yang hanyut.
"Semua murid yang terselamat telah dikumpul di dalam bangunan sekolah namun timbul kekecohan apabila hanya 276 peserta perkhemahan tersebut yang dikesan pada masa itu.
"Ekoran itu timbul khabar angin kononnya 22 murid di khuatiri lemas sedang saya dan Ismail yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menyelamat hanya tiga sahaja yang hanyut," katanya beliau.
Sementara itu, seorang guru, Mohd. Safri Abdul Rafar, 30-an, berkata, beliau hampir lemas ketika cuba menyelamatkan peserta perkhemahan tersebut.
"Semasa kejadian, saya yang berada tidak jauh dari jambatan terkejut terdengar bunyi benda jatuh diikuti jeritan.
"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai namun saya cuma sempat membawa naik tiga atau empat murid kerana hampir lemas," katanya.
No comments:
Post a Comment