TAPAH - Polis percaya koleksi barangan kemas yang didakwa ditemui beberapa penduduk di Jalan Tapah-Tapah Road di sini merupakan emas palsu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, keyakinan itu berasaskan kepada siasatan awal pihaknya selepas kesemua barangan kemas berkenaan dirampas daripada individu terbabit baru-baru ini.
"Kita telah mengambil semua 'harta karun' yang disimpan oleh Kamaluddin Mohd. Zain serta rakannya, Hamidah Bakar dan mereka berdua telah memberi kerjasama baik.
"Berdasarkan rujukan beberapa pakar emas tempatan semuanya didapati tidak tulen dan dipercayai sekadar disadur dengan emas," katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang keterangan daripada Kamaluddin mahupun Hamidah direkodkan dan barangan kemas berkenaan telah dihantar kepada Jabatan Kimia Negeri Perak untuk analisis lanjut.
"Kita akan tahu keputusan muktamad sama ada tulen atau tidak dalam masa terdekat. Oleh kerana mereka mendakwa tidak ditipu oleh bomoh yang menguruskan 'penarikan' harta karun terbabit, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Rampasan cuma untuk menentukan kesahihan barang kemas," katanya.
Kosmo! Ahad 27 September lalu melaporkan dakwaan Hamidah dan Kamaluddin yang kononnya berjaya memiliki harta karun dipercayai berusia ratusan tahun yang timbul di atas tanah di belakang rumah mereka.
Harta karun berkenaan yang merupakan koleksi barangan kemas dijumpai setelah timbul dari tanah selepas melalui proses zikir khas yang disarankan seorang lelaki Indonesia pada akhir 2004.
Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada salah seorang pemilik barangan kemas berkenaan, Hamidah tidak kesampaian apabila wanita berusia 65 itu kini dikatakan sedang bercuti di luar negara.
Pada masa sama, Kamaluddin yang juga seorang peniaga di Pasar Awam Tapah sini mengakui keyakinannya terhadap ketulenan barangan kemas yang disimpannya sejak empat tahun lalu itu mulai pudar.
"Sebelum ini, memang saya dan Hamidah percaya barangan kemas itu betul-betul diperbuat daripada emas tetapi selepas polis mengambilnya, keyakinan itu mulai luntur," katanya.
No comments:
Post a Comment