Translate

Wednesday, October 7, 2009

'Sebatlah tapi jangan penjarakan Kartika'

AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my
 
IPOH - Selepas lebih dua bulan `menyepikan' diri, warga Singapura, Mohamad Affendi Amir akhirnya bersuara selepas bimbang isterinya, Kartika Sari Dewi Shukarnor terpaksa masuk penjara semata-mata untuk pelaksanaan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak pada Julai tahun lepas.

Mohamad Affendi yang bertugas di sebuah firma Teknologi Maklumat (IT) di Singapura dalam e-melnya kepada Kosmo! bimbang kesan buruk hukuman itu terhadap mereka sekeluarga sedangkan Kartika tidak sepatutnya bermalam walaupun sehari di penjara.

``Kalau nak sebat, sebatlah tetapi jangan sesekali penjarakan isteri saya. Sebagai suami Kartika, saya tidak rela dia dimasukkan dalam penjara seperti banduan.

``Saya tidak mahu anak-anak saya menganggap ibu mereka adalah bekas banduan sedangkan Kartika tidak perlu masuk penjara selepas hukuman tiga tahun itu digugurkan," katanya.

Dia menegaskan, Kartika telah membayar denda RM5,000 dan bersedia menerima hukuman enam sebatan, jadi isterinya tidak wajar dilayan seperti banduan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Kehakiman Syariah Pahang yang dihubungi semalam memberitahu pihaknya masih belum dapat memastikan tarikh sebenar hukuman itu.

Berdasarkan prosedur hukuman sebat itu, Kartika, ibu kepada dua orang anak perlu ditahan di Penjara Kajang sepanjang tempoh pelaksanaan sebatan.

Kartika, 32, dari Sungai Siput dekat sini didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11.40 malam 11 Julai tahun lepas.

No comments:

Post a Comment