KAMPAR - Kegembiraan 294 murid yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini berakhir tragedi apabila seorang maut manakala dua lagi hilang dibawa arus deras sungai selepas jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberangi Sungai Kampar runtuh kelmarin.
N. Dina Deve, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Mambang Di Awan di sini ditemui mati lemas pada pukul 8.30 pagi semalam di Kampung Pasir, dua kilometer dari lokasi tempat jambatan itu runtuh.
Pasukan menyelamat berusaha mengensan dua lagi murid yang hilang. Mereka ialah V. Diryasree, 12, murid SJKT Gopeng dan murid SJKT Mambang Di Awan, M. Darapharshini, 11.
Sebelum kejadian pada pukul 10.30 malam, dianggarkan 50 orang murid sedang menggunakan jambatan gantung itu menuju ke dewan makan SK Kuala Dipang di seberang sungai.
Bagaimanapun, jambatan itu tiba-tiba runtuh selepas tiang besi dan bongkah konkrit yang mengikat tali jambatan di tebing sebelah sekolah tercabut.
Sungai Kampar terkenal dengan kegiatan sukan air lasak dan lebar sungai kawasan itu dianggarkan 30 meter dengan kedalaman 1.5 meter.
Seorang murid yang selamat, Mohamad Amir Hamzah Mohd. Aspar, 12, berkata, sejurus kedengaran bunyi kuat runtuhan pada tebing sungai berhampiran sekolah, semua murid yang berada di atas jambatan mula menjerit.
"Keadaan sangat menakutkan sebelum beberapa orang dewasa termasuk pengawal keselamatan terjun menyelamatkan kami.
"Saya sempat berpaut pada kabel besi dan semasa itu sebahagian lantai jambatan masih berada di permukaan sungai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ekoran tragedi itu, Amir, pelajar tahun enam SK Bukit Prekan memberitahu sejak malam kelmarin, dia tidak dapat melupakan lambaian beberapa rakannya yang dibawa arus sungai itu.
"Ketika menyeberang, kami berbaris dalam tiga barisan mungkin terlalu ramai, jambatan jadi berat," kata Amir.
Seorang lagi murid yang selamat, K. Mathivanan, 12, mendakawa ada beberapa murid melompat-lompat ketika berada di atas jambatan sehingga jambatan itu bergoyang.
"Apa yang saya ingat, murid-murid berbaris di dewan berhampiran tebing sekolah melompat-lompat namun tidak sangka pula ia boleh runtuh,"katanya.
Seramai 25 guru terlibat dengan perkhemahan yang dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang melawat tempat kejadian berkata, jambatan sepanjang 50 meter itu baru tiga minggu disiapkan.
"Jambatan itu didapati runtuh apabila tiang besinya terbongkah. Kita mahu tahu sama ada ia dibina mengikut spefikasi atau tidak," katanya beliau.
Kejadian di SK Kuala Dipang itu berlaku kira-kira 20 kilometer dari Pos Dipang, lokasi tragedi banjir lumpur tanah tinggi yang mengorbankan 44 nyawa dan memusnahkan 30 buah rumah pada 29 Ogos 1996.
No comments:
Post a Comment