Translate

Wednesday, October 7, 2009

Perak berjaya tarik pelaburan RM609j sehingga Jun lalu

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan negeri Perak berjaya menarik pelaburan bernilai kira-kira RM609 juta sehingga bulan Jun lalu meskipun kini berdepan dengan persekitaran ekonomi yang lembap.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, daripada jumlah tersebut, RM352 juta merupakan pelaburan asing.

``Perak telah mendapat manfaat daripada dasar liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan oleh kerajaan persekutuan semenjak April lalu.

"Antara industri tempatan yang berkembang pesat berikutan pengenalan dasar itu ialah perkhidmatan perbankan, teknologi maklumat (IT) dan pelancongan," katanya ketika menghadiri perjumpaan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) cawangan Perak di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi MICCI Perak, Lim Si Boon dan Presiden MICCI, Irene Dorner.

Selain itu, Zambry menerangkan, pembukaan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini menerusi perkhidmatan penerbangan dua hala Ipoh-Singapura oleh Firefly Sdn. Bhd. mulai 12 Julai lalu telah memberi impak positif kepada ekonomi Perak.

Beliau berkata, selain menggalakkan industri pelancongan, perkhidmatan penerbangan itu menarik kehadiran pelabur negara jiran ke negeri tersebut.

"Malah Persatuan Pengilang Singapura dijangka akan melakukan misi perniagaan ke negeri ini pada bulan depan.

"Satu lagi perkembangan positif ialah Firefly bercadang untuk menambah perkhidmatan daripada sekali sehari kepada dua kali dalam masa terdekat," katanya.

No comments:

Post a Comment