IPOH - Kementerian Luar Negeri mempelawa para lepasan ijazah untuk menyertai Wisma Putra dengan mengisi beberapa kekosongan jawatan yang terdapat di kementerian tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Lee Chee Leong berkata, buat masa ini masih banyak kekosongan di kementerian berkenaan dan keutamaan diberikan kepada siswazah yang mempunyai kemahiran dalam bahasa asing.
"Walaupun sepatutnya hanya Pegawai Takbir Diplomatik (PTD) layak menyertai Wisma Putra tetapi kini kementerian memberi kelonggaran kepada siswazah baru.
"Mereka hanya perlu mendaftar di laman web kementerian www.kln.gov.my dan panggilan temuduga akan dilakukan se lepas proses saringan dilakukan," katanya selepas merasmikan Program Diplomasi Awam anjuran Kementerian Luar Negeri di Dewan Bandaran di sini semalam.
Program dua hari berbentuk pameran fotografi dan ceramah itu bertujuan untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan Wisma Putra, dasar luar negara dan peluang kerjaya di kementerian tersebut.
Chee Leong berkata, selain berpeluang bekerja di luar negara, tangga gaji dan elaun serta faedah yang ditawarkan kepada lepasan universiti adalah menarik malah dikatakan lebih baik daripada kebanyakan firma swasta.
Beliau juga menggalakkan lebih ramai belia bukan Bu miputera untuk menyertai kerajaan melalui Wisma Putra berikutan ketidakseimbangan komposisi kaum di kalangan kakitangan kementerian itu pada masa kini.
"Kita tak pernah amalkan konsep kouta dalam pengambilan kakitangan. Saya harap bukan Bumiputera dapat ubah persepsi terhadap pekerjaan di perkhidmatan awam.
"Lagipun kerjaya di Wisma Putra bukan sahaja menarik dan mencabar malah gaji yang ditawarkan juga baik," katanya.
No comments:
Post a Comment