Translate

Thursday, October 22, 2009

Sivakumar diminta pulangkan jubah

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar diminta agar memulangkan segera pakaian rasmi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat.

Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan berkata, bekas Speaker DUN Perak itu dikesan tidak memulangkan pakaian rasmi tersebut biarpun sudah dilucutkan daripada jawatan berkenaan sejak 7 Mei lalu.

"Sivakumar kena terima hakikat dia bukan Speaker DUN Perak lagi malah mahkamah turut menolak tuntutannya. Pakaian rasmi itu milik DUN Perak, setakat ini sudah tiga kali dia memakai jubah itu secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sehubungan itu Setiausaha DUN Perak, Zamari Mohd. Ramli telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini semalam (kelmarin) untuk menuntut Sivakumar memulangkan pakaian rasmi Speaker DUN Perak dengan segera.

R. Ganesan juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan tegas termasuk menghalang Sivakumar daripada memasuki dewan ketika Sesi Kedua Persidangan DUN Perak ke-12 pada 28 Oktober depan sekira wakil rakyat DAP itu terus berdegil memakai pakaian rasmi Speaker DUN Perak pada masa itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan Sivakumar yang turut menghantar notis haram memanggil ADUN ke sidang DUN.

"Notis saya diwartakan melalui perkenan Tuanku Sultan Perak mengikut Perintah Tetap 10 (1) DUN Perak manakala notis Sivakumar tidak.

"Terdapat banyak kesalahan seperti notis dikeluarkan Sivakumar ditandatangani dia sendiri sedangkan sebenarnya notis itu dikeluarkan Setiausaha DUN Perak selain menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak secara tidak sah," katanya.

No comments:

Post a Comment