IPOH - Seramai kira-kira 8,000 pesara polis dan tentera di Perak yang masih belum memiliki rumah sendiri bakal mendapat tapak rumah menerusi projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, projek itu melibatkan tanah seluas 60 hektar di semua 10 daerah di negeri ini.
"Pada masa kini semua pejabat daerah dan tanah telah serahkan lokasi cadangan masing-masing. Kerajaan negeri juga di peringkat akhir untuk meluluskan tapak kawasan berkenaan dan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan," katanya.
Beliau yang dilantik bagi mengetuai jawatankuasa khas bagi projek itu berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Turut hadir Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Panglima Dua Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor.
Ramly berkata, kebiasaannya sebanyak 8,000 buah rumah dapat dibina di atas tanah seluas 60 hektar itu dan keutamaan akan diberikan kepada bekas polis dan tentera negeri ini yang layak.
Walau bagaimanapun katanya, pesara terlibat perlu membayar sejumlah premium untuk memiliki tanah tersebut tetapi jika kadar itu membebankan golongan berkenaan, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik mengatasinya.
Kosmo! 28 Ogos lalu melaporkan kerajaan negeri Perak memberi kelonggaran khas kepada pesara polis dan tentera yang masih belum memiliki rumah sendiri untuk mendapat tapak tanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, usaha itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan yang menetap di negeri ini selepas bersara.
No comments:
Post a Comment