Translate

Friday, October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura yang merupakan kapal pengangkut terbesar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar ketika berlabuh di Pangkalan TLDM di sini semalam.

Kebakaran pada pukul 6 pagi itu telah memusnahkan sebahagian kapal tersebut terutama bahagian pejabat dan bilik stor di dalam perut kapal itu.

Satu kenyataan dikeluarkan Unit Perhubungan Awam TLDM di sini semalam berkata, kapal tersebut mempunyai 77 anggota termasuk enam pegawai TLDM yang bertugas di dalam kapal tersebut.

"Lima jentera Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Manjung dengan kekuatan lebih 100 anggota telah ditugaskan memadam kebakaran.

"Turut membantu pasukan bomba TLDM, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian yang belum diketahui punca kebakaran itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kapal tersebut dijadualkan belayar ke Sabah untuk menghantar barang-barang logistik ke Markas Wilayah Dua, Kota, Kinabalu pada 12 Oktober ini.
Jelas kenyataan itu, kebakaran semalam merupakan kejadian kedua selepas kebakaran pertama kali berlaku pada 2002.

Tinjauan Kosmo! pada sebelah petang mendapati anggota bomba masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran di atas kapal itu.

Kepulan asap dari kapal itu boleh dilihat dari bandar ini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pengkalan TLDM.

Antara misi besar yang pernah dilaksana KD Sri Inderapura ialah misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Acheh, Indonesia pada Januari 2005 dan mengiringi kapal dagang negara yang berhadapan ancaman lanun di Teluk Aden, Somalia pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment