Translate

Monday, October 19, 2009

1Malaysia bukan retorik - Najib


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu retorik, gimik politik atau slogan semata-mata sebaliknya ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Katanya, ia merupakan satu prinsip keadilan yang akan menjamin keharmonian semua kaum di negara ini dan ia adalah pengiktirafan terhadap segala sumbangan yang dicurahkan setiap kaum untuk membangunkan negara.

"1Malaysia sebenarnya turut menekan konsep keadilan sosial kepada semua kaum dan kerajaan memberi jaminan tiada satu kelompok masyarakat akan terpinggir.

"Melalui gagasan ini, hak sesuatu kaum itu tidak akan diberikan kepada kaum lain dengan begitu sahaja kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan program 1Malaysia Bersama Rakyat peringkat negeri Perak di Stadium Perak di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut Najib, Perak telah dipilih sebagai lokasi pertama program tersebut dan ia akan diteruskan di setiap negeri selepas ini. Majlis pelancaran itu dihadiri lebih 50,000 rakyat pelbagai kaum dan agama.

Selain persembahan nyanyian lagu tema Malaysia Satu oleh juara rancangan realiti Mentor musim kedua, Fiq dan 1Malaysia oleh Roy, program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula sejak pagi semalam.

Dalam pada itu, enam individu telah diumumkan sebagai Ikon Satu Malaysia peringkat Perak sebagai menghargai sumbangan dan komitmen mereka dalam merealisasi gagasan tersebut sebelum ini.

Mereka ialah kartunis terkemuka negara, Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan doktor perubatan pertama dari masyarakat Orang Asli Tapah, Dr. Ayob Bah Los.

Turut dipilih ialah aktivis rukun tetangga dari Kampung Dew, Taiping, C. Shanmugam, pekerja sosial, Abdul Rahim Nor Mohd dan pengarah filem tersohor yang sering mengetengahkan Perak sebagai latar belakang karyanya, Allahyarham Yasmin Ahmad.

No comments:

Post a Comment