Translate

Thursday, October 15, 2009

Guna kad bercip salur bantuan miskin tegar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR - Kerajaan disaran mengaplikasi sistem kad bercip sebagai medium menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin tegar terutamanya di kawasan luar bandar.

Tokoh ekonomi, Prof. Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid berkata, kad terbabit berfungsi sebagai kad debit yang boleh digunakan golongan terbabit untuk membeli barangan keperluan harian.

"Kad bercip itu akan mempunyai had kredit yang merupakan jumlah amaun bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan kepada isi keluarga miskin tegar itu setiap bulan.

"Mereka boleh membeli barangan keperluan tertentu seperti beras, gula dan makanan lain di kedai yang ditetapkan dan setiap transaksi direkod dan boleh diakses kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah umum 'Kemiskinan Tegar' selaku penerima Anugerah Merdeka 2008 kategori Pendidikan dan Komuniti di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini semalam.

Turut hadir Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim dan Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd.

Ungku Aziz yang juga antara pencetus beberapa dasar ekonomi negara termasuk penubuhan Tabung Haji berkata, penggunaan kad bercip itu dapat memastikan keberkesanan pemberian bantuan kebajikan berkenaan sampai ke golongan sasaran.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itu berkata, selain mengurangkan unsur pilih kasih dan rasuah, ia dapat mengelakkan bantuan tersebut disalah guna ketua isi rumah miskin tegar terbabit untuk tujuan lain seperti membeli nombor ekor dan rokok.

"Saya percaya kerajaan mampu menghasilkan kad bercip itu malah kaedah ini jauh lebih baik daripada pemberian subsidi terhadap barangan kawalan seperti diamalkan kerajaan sekarang kerana tidak semua golongan sasaran mendapat manfaat berikutan pengagihan tak serata dan kesan monopoli pihak tertentu," katanya.

No comments:

Post a Comment