Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Hajat seorang suri rumah untuk menambah pendapatan bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia pula yang kerugian RM38,505 akibat diperdaya skim pekerjaan dalam talian tidak wujud.
Wanita berusia 36 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.39 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah itu dihubungi individu tidak dikenali mendakwa kononnya wakil aplikasi TikTok pada pukul 11.51 pagi, Sabtu lalu.
“Suspek telah membuat pengesahan alamat sebelum barang kepada mangsa untuk dibuat ulasan menerusi kumpulan WhatsApp.
“Dia mendakwa kononnya mangsa akan menerima ganjaran RM3 jika membuat tugasan ulasan barang terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, wanita terbabit kemudiannya ditawarkan tugasan lain yang menjanjikan ganjaran lumayan.
Beliau berkata, suri rumah terbabit makin teruja apabila didakwa layak menerima ganjaran RM2,100 berikutan ganjaran dibuat namun diminta membuat bayaran kononnya bagi mengeluarkannya.
“Mangsa mengikut arahan dengan melakukan pindahan wang keseluruhan RM38,505 ke akaun bank diberi suspek menerusi lima transaksi dari Sabtu hingga Selasa lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment